'Ya Allah, bantulah kami agar kami sentiasa ingat, bersyukur dan beribadah dengan baik kepadaMu" Aku sekadar menumpang di dunia ini. Selagi ada umur, selagi itulah aku cuba berbakti, semoga aku dirahmati dan diberkati... Tuhanku... berilah aku hidayah untuk berbicara dari sudut hati dan pandangan mata... Amin..

MENGIKUT BLOG YANG BAIK KANDUNGAN DAN MANFAAT

Dari Abu Hurairah r.a…Nabi s.a.w. sabdanya: "Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu dari pahala-pahala mereka, dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak kejalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka."
Petikan Daripada Kitab Fikhul Jihad Karangan Prof.Dr.Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi
"Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam,menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam merupakan satu jihad utama"

Followers

Tuesday, May 25, 2010

Wanita dalam idah boleh ziarah kubur


SOALAN:

SAYA mendirikan rumah tangga kira-kira 40 tahun lalu. Persoalan saya, jika suami meninggal apakah hukumnya saya pergi mengiringi jenazah ke kubur? Saya difahamkan dalam idah, isteri tidak boleh keluar rumah tanpa sebab yang kukuh. Jika tidak boleh ke kubur, apakah yang perlu dilakukan oleh isteri dalam saat begini?

JAWAPAN:

SETIAP amalan yang disyariatkan dalam Islam memiliki batasan-batasan. Hal ini dimaksudkan agar agama ini tidak diaplikasikan secara berlebihan yang akhirnya kemudian menjadi amalan bidaah. Demikian juga dengan ziarah kubur. Amalan yang dianjurkan ini boleh menjadi bidaah jika batasan-batasan syariatnya dilanggar. Hal-hal apa saja yang mesti kita perhatikan dalam ziarah kubur? Dan bagaimana hukum amalan tersebut bagi wanita?

Ziarah kubur merupakan amalan yang disyariatkan dalam agama ini. Ini bertujuan agar orang yang melakukannya boleh mengambil pelajaran dari kematian yang telah mendatangi penghuni kubur dan dalam rangka mengingat negeri akhirat. Tentunya disertai syarat, orang yang melakukannya tidak melakukan perbuatan yang dimurkai Allah SWT seperti berdoa meminta hajat dan istighatsah (minta tolong) kepada penghuni kubur dan sebagainya.

Syaikhul Islam, Ibnu Taimiyyah membahagikan ziarah kubur kepada dua keadaan, keadaan pertama: ziarah syar’iyyah (ziarah yang disyariatkan) dan ziarah bid’iyyah (ziarah yang membawa kepada amalan yang bercanggah dengan syariat).

Ziarah yang syarie adalah ziarah yang dilakukan dengan maksud mengucapkan salam kepada mayat dan mendoakannya sebagaimana hal ini dilakukan ketika menyolatkan jenazah.

Keadaan yang kedua: ziarah yang bidaah, bermaksud, bila penziarah melakukannya dengan tujuan meminta hajat dan memujanya.

Berikut ini dalil dari hadis Rasulullah SAW tentang disyariatkannya ziarah kubur beserta faedahnya yang bermaksud: Buraidah bin Hushaib r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Aku pernah melarang kalian daripada ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahilah kubur. (riwayat Muslim no. 2257). Hadis ini adalah dalil bagi pemansuhan larangan ziarah kubur yang terdahulu.

Abu Sa’id Al-Khudri r.a memberitahu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dulu aku melarang kamu daripada menziarahi kubur. Maka (sekarang) ziarahilah kubur, kerana dalam ziarah kubur ada pengajaran dan iktibar. Namun janganlah kalian mengeluarkan ucapan yang membuat Pencipta kalian murka.” (riwayat Ahmad 3/38, 63, 66, Al-Hakim 1/374,375)

Dalam riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a Baginda bersabda yang bermaksud: Ziarahilah kubur kerana sesungguhnya ziarah kubur itu mengingatkan kepada kematian.

Hukum ziarah kubur bagi wanita

Tidak ada perbezaan pendapat di kalangan ahlul ilmi tentang bolehnya ziarah kubur bagi laki-laki. Namun berbeza halnya bila berkenaan dengan wanita.

Mereka terbahagi dalam tiga pendapat dalam menetapkan hukumnya: Pertama: Makruh tidak haram.

Demikian satu riwayat daripada pendapat Al-Imam Ahmad rahimahullahu, dengan dalil hadis Ummu ‘Athiyyah r.ah.: “Kami dilarang untuk mengikuti jenazah, namun tidak ditekankan terhadap kami.” (riwayat al-Tarmidzi)

Pandangan dalam mazhab al-Syafieyyah makruh wanita menziarahi kubur. Ini dengan alasan kaum hawa lemah dan mudah menangis dan meraung serat meratap. Ini kerana golongan wanita berhati lembut dan mudah menangis.

Kedua: Mubah tidak makruh. Demikian pendapat mazhab Hanafiyyah, Malikiyyah dan riwayat lain dari Al-Imam Ahmad r.a.

Hadis Ummu ‘Athiyyah r.ah. perlu diberi perhatian yang memperlihatkan bahawa Rasulullah SAW tidak menegah dengan keras tetapi sebagai satu peringatan agar wanita yang menziarahi kubur lebih bersifat berhati-hati dan memelihara hukum dan adab menziarahi kubur.

Isteri yang ingin mengiringi jenazah suami atau adik-beradiknya atau sesiapa daripada kalangan orang Islam adalah tidak haram.

Sebahagian ulama menghukumnya dengan makruh, ini kerana kemungkinan berlakunya ratapan, teriakkan dan sebagainya.

Sekiranya seorang wanita dapat mengawal dirinya dan tidak berkelakuan seperti apa yang ditegah di kubur, maka wanita ini tidak ada halangan untuk mengiringi atau menziarahi kubur.

Pada masa yang sama, wanita juga boleh menyembahyangkan jenazah terutama jika mayat itu adalah suami atau saudara yang terdekat.

Idah bagi isteri yang kematian suami adalah empat bulan 10 hari. Ia juga disebut sebagai tempoh berkabung. Bagaimanapun ia tidak bermaksud balu berkenaan tidak boleh langsung keluar rumah.

Apa yang dilarang ialah keluar untuk suka-suka untuk aktiviti sosial seperti menghadiri majlis keramaian dan menghias diri. Sebaliknya, jika untuk menuntut ilmu, bekerja atau ke hospital tiada halangan berbuat demikian. Ini termasuklah dalam tempoh idah isteri boleh ziarahi kubur suaminya.


Air mata ratapi jenazah


SETIAP kematian hampir pasti mengundang kesedihan. Kesedihan itu pula diikuti dengan tangisan.

Ketika anak lelaki Rasulullah, Ibrahim meninggal dunia, baginda memangku jenazah anaknya lalu menitiskan air mata. Melihat keadaan itu, seorang sahabat terus bertanya Rasulullah:

“Wahai Rasulullah, kamu melarang kami menangis tetapi hari ini nampaknya kamu juga menangis, bagaimana ya Rasulullah?”

Rasulullah menjawab: “Yang aku larang ialah raungan, jika sekadar mengeluarkan air mata, ia satu rahmat dan menunjukkan kelembutan hati. Siapa yang tiada rahmat, maka dia tidak dirahmati Allah.”

Pada setiap kematian, kita dituntut memberi takziah kepada keluarga si mati sambil memohon kepada Allah supaya mereka bersabar kerana terpisah dengan orang tersayang.

Bagaimanapun, Rasulullah melarang umat Islam meratapi jenazah dengan meraung yang menjadi amalan zaman jahiliah.

Orang zaman jahiliah meraung dan menepuk dada dengan mengoyak pakaian, selain ada yang menepuk bumi apabila berlaku kematian.

Malah, mencium jenazah juga hukumnya adalah sunat, iaitu khusus bagi keluarga si mati atau sahabat yang sangat sayang dan sedih dengan kematiannya.

Aisyah ra mengatakan, Rasulullah mencium Usman bin Maz’un ketika beliau meninggal dunia sehingga kelihatan air mata mengalir pada wajahnya. (Riwayat Ahmad dan Tarmizi)

Bagi menziarahi kubur pula, lelaki disunatkan menziarahi kubur manakala makruh kepada wanita. Ini kerana jumhur ulama berasaskan kemungkinan wanita hilang kesabaran dengan teriak tangis dan meninggikan suara akibat tidak dapat menahan kesedihan.

Ini berasaskan hadis sahih riwayat Tarmizi bermaksud: “Allah tidak menyukai wanita yang menziarah kubur.”


Jalan ke syurga amat mudah


DARIPADA Abu Abdillah Jabir bin Abdullah al-Ansari, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah pendapat tuan jika saya melakukan solat fardu (lima waktu), berpuasa pada Ramadan, menghalalkan apa yang halal, mengharamkan apa yang haram dan tidak menambahkan sesuatu pun padanya, adakah aku akan masuk ke dalam syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

Jalan ke syurga adalah jelas dan mudah kerana Allah sudah menentukan baginya batasan dan amalan yang menyampaikan seseorang itu kepadanya. Apa yang penting ialah iltizam seseorang melakukan apa difardukan serta meninggalkan perkara diharamkan.

Sesungguhnya Allah tidak meletakkan beban dan kesusahan yang tidak mampu dipikul hamba-Nya. Ia sejajar firman Allah yang maksudnya: “Allah menghendaki yang mudah dan tidak menghendaki yang sukar bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Seharusnya jika kita mengharapkan kejayaan di dunia dan akhirat, maka kita hendaklah menjadi ‘tamak’ untuk menduduki kedudukan tinggi di sisi Allah dengan tidak meninggalkan amalan sunat dan mendekati perkara makruh.

S

Wajib pulang barangan hantaran jika dituntut


Hukum syarak tidak tetapkan ganti rugi putus tunang mesti diberi dua kali ganda daripada nilai asal

PERTUNANGAN adalah mukadimah atau langkah permulaan kepada gerbang perkahwinan. Lazimnya, pertunangan diadakan mengikut adat dalam sesuatu masyarakat. Dalam masyarakat Islam dan Melayu di negara ini, ketika adat pertunangan dilangsungkan kedua-dua belah pihak digalakkan bertukar-tukar memberi hadiah.

Pemberian hadiah itu secara tidak langsung boleh membawa kepada saling hormat dan menjalinkan kasih sayang sebelum mempelai itu diikat melalui perkahwinan. Hakikatnya, walaupun majlis pertunangan tidak dinyatakan dengan jelas dalam Islam, adat pertunangan yang diamalkan masyarakat Islam boleh juga dianggap sebagai undang-undang Islam. Ini berikutan, ada kaedah yang menjadikan sesuatu adat itu sebagai undang-undang dalam Islam.
Amalan itu juga selaras dalam hadis, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesuatu perkara yang dianggap baik oleh orang Islam atau masyarakat, maka adalah baik di sisi Allah.”

Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Daerah Petaling, Suhaimi Ahmad Wahid, berkata Islam tidak menetapkan bentuk atau cara bagaimana pertunangan itu seharusnya dilakukan, tetapi beliau tidak menyangkal, cara dan adat pertunangan itu boleh dilakukan jika tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Beliau berkata, bertunang hukumnya sunat dan dalam Islam digalakkan berbuat demikian bagi menjaga keharmonian kedua-dua belah pihak sebelum berkahwin. Selain itu, bertunang juga memberi hikmah bagi memberi peluang pasangan yang ingin bernikah mengenali lebih baik antara satu sama lain, tetapi dengan dibenteng oleh batas tertentu yang ditetapkan dalam Islam.

Begitupun, katanya, Islam tidak pernah menetapkan tempoh sesuatu pertunangan itu, tetapi adalah lebih baik jika pihak terbabit menyegerakan dan tidak mengikatnya terlalu lama.

“Dalam masyarakat hari ini, biasanya tempoh pertunangan antara pasangan ialah setahun, manakala tempoh dua tahun sudah pun jarang berlaku dan memang wajar dielakkan. Maksud disegerakan tempoh bertunang yang sebaik-baiknya ialah tiga bulan kerana ia membolehkan kedua-dua belah pihak membuat persiapan dan bagi mengikut adat. Lebih singkat tempoh itu adalah lebih baik kerana mengapa perlu lagi menangguhkan perkahwinan jika sudah ada kemampuan dan masing-masing sudah pun bersetuju,” katanya.

Suhaimi berkata, apabila seseorang itu sudah bertunang, bererti beliau mengikat suatu ikatan perjanjian yang dikenali sebagai perjanjian pertunangan dan mengharapkan suatu hari nanti akan berkahwin. Bagaimanapun, setiap perjanjian pertunangan ada kalanya tidak ditunaikan, sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja.

Dalam Islam adalah jelas ikatan pertunangan itu boleh diputuskan oleh kedua-dua belah pihak ataupun wakilnya seperti keluarga, tetapi ia mestilah dibuat atas persetujuan. Tetapi apa yang terjadi, memungkiri perjanjian itu akan mengakibatkan pihak yang satu lagi itu akan menanggung kerugian dan sebagainya.

“Sama ada lelaki atau wanita, masing-masing ada hak atau boleh memutuskan pertunangan. Jika pertunangan itu diputuskan oleh wakil atau keluarga, tetapi tidak dipersetujui oleh empunya diri apa yang membimbangkan ialah ia akan memudaratkan hubungan dan mungkin timbul masalah sosial keluarga. Jadi, adalah lebih baik pertunangan itu diputuskan dapat diterima oleh pasangan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, apabila berlaku pembatalan perjanjian itu sama ada pihak lelaki atau wanita yang berasa terkilan maka dibolehkan membuat tuntutan. Dalam Islam, hukumnya adalah harus untuk memulangkan semula barang-barang diterima ketika pertunangan dibuat, malah menjadi perkara wajib dilaksanakan jika barang itu dituntut oleh yang berhak.

“Semua barang itu hendaklah dipulangkan semula jika dituntut atau diganti dengan wang yang senilai dengan harganya. Kecualilah jika individu itu tidak mahu menuntut dan mahu menganggapnya sebagai pemberian hadiah. Perlu diingatkan juga, Islam tidak meletakkan syarat bahawa barang yang dipulangkan itu jumlahnya perlu digantikan dua kali ganda daripada nilai asalnya.

“Amalan memulangkan dua kali ganda sebenarnya mengikut adat masyarakat dan bukannya satu hukum syarak yang ditetapkan. Begitu juga istilah belanja hangus ia lebih menjurus mengikut adat. Namun, jika mana-mana pihak terbabit terkilan dengan pembatalan pertunangan berkenaan, tuntutan boleh dibuat termasuklah kos perbelanjaan untuk membuat persiapan perkahwinan seperti bayaran kad jemputan, deposit katering yang sudah dibuat dan sebagainya. Tuntutan itu boleh dibuat di Mahkamah Syariah jika pembatalan dilakukan tanpa alasan munasabah,” katanya.

Suhaimi berkata, tuntutan wajar dibuat jika perjanjian pertunangan itu dibatalkan kerana ia bukan saja berkaitan dengan hak yang menyebabkan dirinya teraniaya, tetapi juga adalah soal maruah individu berkenaan. Apa pun, pihak yang menuntut di Mahkamah Syariah hendaklah meyakinkan mahkamah bahawa tuntutannya itu tidak tersasar daripada apa yang digariskan dalam hukum syarak sebelum mahkamah boleh memberikan perintah pihak yang mungkir itu membayar ganti rugi akibat perasaan malu yang ditanggungnya selepas diputuskan pertunangan tanpa sebab yang sah.

Namun, beban pembuktian diletakkan kepada pihak yang menuntut bagi membuktikan bahawa ia tidak berlawanan dengan hukum syarak.

Justeru, beliau menasihatkan apa yang lebih penting dalam sesuatu ikatan pertunangan perlulah mendapat restu orang tua dan dengan niat ingin beribadah. Apabila ikatan pertunangan dibuat, jangan sama sekali ada mana-mana pihak mengambil kesempatan lain.

INFO: Perkara yang berkaitan dengan putus tunang:

Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan:

  • Jika seseorang mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis dan sama ada secara bersendirian atau melalui orang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab sah, manakala pihak satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak mungkir perlu:
    • Memulangkan segala hantaran yang diterimanya daripada pihak yang satu lagi ataupun jika tidak dapat memulangkannya maka perlu membayar dengan wang yang senilai dengan hantaran yang diberikan itu;
    • Menanggung perbelanjaan yang dikeluarkan oleh pihak yang bersedia untuk berkahwin itu di dalam membuat persediaan bagi perkahwinan itu. Kedua-dua perkara di atas hendaklah ditanggung oleh pihak yang mungkir kepada perkahwinan itu dan sekiranya ia enggan membayarnya maka pihak yang bersedia untuk berkahwin itu boleh menuntut remedi itu di Mahkamah Syariah melalui seksyen 15 Akta yang disebut di atas.
  • Bagaimanapun, jika pihak yang memutuskan pertunangan itu mempunyai sebab yang sah dan diiktiraf hukum syarak, maka pihak yang memutuskan pertunangan itu tidak perlu memenuhi kedua-dua keperluan yang diperuntukkan di dalam seksyen 15. Perlu dijelaskan di sini seksyen 15 di atas tidak memberi peruntukan secara spesifik untuk menuntut ganti rugi atas perasaan malu pihak yang dimungkiri untuk di kahwin itu.

Ritual menyambut zuriat


Zuriat adalah anugerah Allah. Memperoleh zuriat adalah matlamat terpenting dalam kehidupan keluarga. Zuriat adalah nikmat yang memberi kesejahteraan dan ketenangan dalam kehidupan.

ALLAH menegaskan: “Harta dan anak pinak itu adalah perhiasan hidup dunia” – surah al-Khaf:18. Menyambut kehadiran zuriat merupakan saat yang paling bahagia kepada ibu bapa khususnya bagi menyambut kelahiran anak pertama.

Anak disifatkan sebagai cahaya mata ibu bapa. Firman Allah: “Dan orang-orang yang berkata: Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami daripada isteri-isteri kami dan keturunan kami cahaya-cahaya mata dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa”- surah al-Furqan:75.

Adalah menjadi galakan dalam agama Islam agar umatnya melahirkan zuriat. Firman Allah: “Maka sekarang setubuhilah mereka dan perolehlah apa yang telah ditetapkan oleh Allah kepada kamu”- surah al-Baqarah:187. Rasulullah menegaskan bahawa: “Berkahwinlah kamu semua dan lahirkan anak banyak-banyak. Kerana aku akan berbangga dengan kamu semua di hadapan umat-umat lain di hari kiamat”- hadis riwayat al-Hakim.

Dalam hubungan ini, al-Quran menjelaskan akan tanggungjawab agar ibu-ibu yang mengandung diberi layanan yang baik. Firman Allah: “Tempatkanlah mereka (para isteri yang menjalani idahnya) iaitu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka di tempat tinggal itu) dengan tujuan kamu hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusahkan anak-anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya”- surah at-Talaq: 6.

Antara amalan yang digalakkan setelah anak dilahirkan adalah disunatkan azan dan iqamat, memberi nama yang baik, belah mulut (tahnik), mencukurkan rambut dan akiqah.

Azan dan iqamatSetelah anak dibersihkan, bapa bolehlah azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri (anak perempuan iqamat di telinga kiri sahaja).

Amalan ini pernah dilakukan oleh Rasululah terhadap cucunya Hasan dan Hussin. Sabda Rasulullah: Dari Abi Rafik berkata: “Aku telah lihat Rasulullah melakukan azan di telinga Hasan bin Ali setelah baru dilahirkan oleh ibunya Fatimah” – hadis riwayat Timizi.

Sabda Rasulullah diriwayat oleh Baihaqi dan Ibnu Sunni dari Hasan bin Ali dari Nabi s.a.w: “Sesiapa yang melahirkan anak maka hendaklah ia melakukan azan di telinga anaknya yang kanan serta iqamat pada telinga kiri, nescaya anak tidak dicabuli oleh Ummu Sibyan”. Ummu Sibyan adalah nama jin perempuan yang mengganggu kanak-kanak.

Seterusnya sunat baca ayat Qulhuwallah (surah al-Ikhlas dan ayat 36 dalam surah al-Imran). Rahsia dan kelebihannya adalah agar anak dihindari daripada gangguan dan tipu daya syaitan, menandakan kehebatan alam semesta ciptaan Allah, mengajar syariat Islam (melalui kalimah syahadah) dan menanamkan kalimah mulia dalam hati.

Memberi nama yang baikMerupakan upacara tahniah yang selalu menjadi amalan Rasulullah terhadap anak yang baru lahir. Abu Budah meriwayatkan Abu Musa berkata: “Saya mendapat seorang anak lelaki, lalu saya pergi menemui nabi. Baginda pun menamakan bayi itu dengan nama Ibrahim serta mentahniknya dengan buah tamar dan mendoakan keberkatan baginya. Kemudian Baginda beri balik anak itu kepada saya”- hadis riwayat al-Bukhari.

Nama yang baik adalah nama-nama yang ada hubung kait dengan Islam atau pengertian yang indah. Tegas Rasulullah: “Nama-nama kamu yang kamu paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman”- hadis riwayat Muslim. Rasulullah pernah mengubah nama salah seorang nama anak Ibnu Umar r.a yang bernama ‘Asiah’ (yang bererti derhaka) kepada ‘Jamilah’ (yang cantik).

Tahnik (Belah Mulut)Menggunakan buah tamar dimamah lumat dan disuapkan sedikit kepada bayi dan gerakan ke kanan dan ke kiri. Ini bertujuan untuk mendidik bayi agar mudah menyusu dan dengan amalan ini adalah untuk menjana sifat taqwa, kesejahteraan dan kefasihan lidah.

Sabda Rasulullah s.a.w : Dari Abi Musa r.a berkata: “Aku telah mendapat seorang anak lelaki, aku bawa datang kepada Nabi serta mendoakan kepadanya dengan keberkatan, bila selesai Baginda pun mengembalikan kepadaku semula”.

Cukur rambutSemasa bayi berusia tujuh hari, sunat rambutnya dicukur. Berat rambut ditimbang sama dengan nilai emas atau perak dan disedekah dengan nilainya kepada fakir miskin. Bercukur dari segi kesihatan boleh melebatkan rambut, menguatkan kulit kepala, menyuburkan pancaindera (mata, penglihatan, pendengaran dan deria bau). Saidatina Fatimah pernah menimbang rambut Saidina Hassan dan Hussain serta rambut Saidia Zaiab dan Umi Kalthum serta menyedekahkan perak bersamaan beratnya. Adalah dilarang membuat jambul. Rasululah s.a.w menegaskan: Dari Abdilah bin Omar r.a berkata: “Rasululah s.a.w telah melarang meninggalkan rambut bertompok-tompok”- hadis riwayat al-Sahihain

Aqiqah Aqiqah adalah amalan sunat yang biasanya boleh dilakukan pada hari ketujuh selepas anak dilahirkan. Dari Samrah bin Jundub r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiap-tiap bayi itu tergadai dengan aqiqahnya. Disembelih kambing atau biri di hari yang ketujuh dan dicukurkan rambut serta diberi nama ke atasnya” – hadis riwayat Abu Daud.

Bagi anak lelaki disunatkan sembelih dua ekor kambing atau biri-biri dan satu ekor bagi anak perempuan (kambing atau biri sampai umur seperti untuk korban). Dari Habibah binti Maisarah: “Ia pernah mendengar Rasululah s.a.w berkata untuk lelaki dua ekor kambing yang sama besar dan untuk perempuan seekor kambing”- hadis riwayat Abu Daud. Daging aqiqah digalakkan di masak gulai manis dan tulangnya tidak dipatahkan. Sabda Rasululah: “Dari Aisyah r.a yang sunat dua ekor kambing yang sekupu (sama besar) untuk bayi lelaki dan bayi perempuan seekor dimasakkan secara berangkai-rangkai dan jangan dipatah-patahkan”- hadis riwayat al-Baihaqi.

No comments:

Post a Comment