DARIPADA Nu’man bin Basyir r.a daripada Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; Perumpamaan mereka yang berada di dalam batasan Allah dan mereka terjerumus ke dalamnya adalah seperti kaum yang mengundi untuk mendapat tempat dalam sebuah kapal. Antara mereka ada yang dapat di tingkat atas dan sesetengahnya pula di tingkat bawah. Mereka yang berada di bawah akan melalui mereka yang di atas untuk mengambil air. Mereka berkata: “Kalau kita menebuk di tempat ini saja, kita tidak payah mengganggu mereka lagi. Sekiranya dibiarkan mereka laksanakan kehendak tersebut, maka akan binasalah sekalian, dan jikalau mereka ditahan akan selamatlah mereka dan penumpang semuanya.”
Pengertian
Dalam hadis ini, Nabi menggambarkan bahawa anggota sesebuah masyarakat adalah seperti penumpang kapal, sesetengahnya berada di bahagian atas, dan sesetengahnya berada di bahagian bawah. Mereka yang berada di bawah ingin menebuk perut kapal untuk menyenangkan mereka mengambil air. Mereka tidak mahu mengganggu orang yang di tingkat atas. Sekiranya cita-cita tersebut dibiarkan, akan tenggelamlah mereka semua. Demikianlah keadaan orang yang melakukan kepincangan dalam masyarakat. Sekiranya penyelewengan tersebut tidak dicegah maka akan hancurlah masyarakat seluruhnya.
Kesimpulan
Betulkan kembali setiap penyelewengan yang berlaku di dalam masyarakat. Jangan berdiam diri, kalau tidak malapetaka yang amat dahsyat akan menimpa.
No comments:
Post a Comment