'Ya Allah, bantulah kami agar kami sentiasa ingat, bersyukur dan beribadah dengan baik kepadaMu" Aku sekadar menumpang di dunia ini. Selagi ada umur, selagi itulah aku cuba berbakti, semoga aku dirahmati dan diberkati... Tuhanku... berilah aku hidayah untuk berbicara dari sudut hati dan pandangan mata... Amin..

MENGIKUT BLOG YANG BAIK KANDUNGAN DAN MANFAAT

Dari Abu Hurairah r.a…Nabi s.a.w. sabdanya: "Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu dari pahala-pahala mereka, dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak kejalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka."
Petikan Daripada Kitab Fikhul Jihad Karangan Prof.Dr.Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi
"Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam,menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam merupakan satu jihad utama"

Followers

Tuesday, May 18, 2010

Nafsu Laluan Syaitan



NAFSU adalah musuh manusia. Ia menjadi laluan syaitan untuk melalaikan dan menyesatkan manusia. Sebab nafsu manusia boleh menjadi tamak haloba, hilang sifat kemanusiaannya hingga sanggup menipu, menyakiti dan mencederakan orang, malah membunuh.

Apabila nafsu menguasai diri, ibarat akal yang sudah bawah pengaruh ganja, hilang peri belas kasihan bila sudah gian hingga sanggup berbuat apa saja, hatta mencederakan orang lain seperti kisah remaja di Kelantan yang sanggup menikam seorang ibu dan anak kecil, gara-gara ketagihan.

Sejak kecil lagi anak dibekalkan dengan nafsu, ada yang positif dan ada negatif. Nafsu perlu dididik sejak kecil dan ibu bapalah yang patut memainkan peranan itu.

Imam Al-Ghazali pernah menyarankan, agar anak tidak dimuakan (dimanjakan) dengan kesenangan yang akan menggemukkan hawa nafsu.

Sesekali biarlah anak berasa sedikit kesukaran dalam kehidupannya. Jangan pula berkata: “Biarlah, itukan budak-budak, nanti besar dididiklah”.

Ini sebenarnya pendapat yang salah, kerana hakikatnya jika kecil payah dididik, apabila remaja atau dewasa lagilah sukar. Ini kerana nafsu tua mengikut tuannya, lebih meningkat umur, lebih payah dibentuk dan dididik.

Fahamkan kepada anak sejak dari kecil mengenai nafsu jahat dan baik. Biasakan anak dengan tuntutan syariat seperti solat, puasa dan bab aurat, supaya ia menjadi suatu kebiasaan dan tabiat.

Bantulah anak menahan nafsu yang negatif, kerana kegagalan mendidik nafsu anak sejak dari awal, lahirlah manusia dewasa yang berbangga dengan maksiat dan kemungkaran yang dilakukannya tanpa secebis rasa kekesalan terhadap apa yang dilakukannya.

Zaman remaja adalah waktu di mana cabaran hawa nafsunya amat besar, lebih-lebih lagi dugaan dan godaan sekeliling amat hebat, dengan gadis yang menawan, pusat hiburan di sana-sini, pengedar dadah bertebaran mencari mangsa, kekayaan dan kemewahan dengan cara salah, kecanggihan internet yang tidak bertapis dan macam-macam lagi.

Remaja yang tidak ada ‘back up’ (pelindung) iman dalam dirinya akan mudah tewas dan hanyut dengan gelombang nafsunya. Tetapi, remaja berjiwa Islam akan membezakan perkara yang makruf (baik) dan yang mungkar (jahat).

Abdullah bin Mas’ud (sahabat Nabi saw) berkata: “ Binasalah orang yang tidak membezakan yang makruf dengan yang mungkar”.

Jangan nanti pula semuanya disapu, yang baik dilakukan tetapi yang mungkar tidak ditinggalkan. Jika begitu akan berlaku kecelaruan dalam hidup.

Senjata menghadapi nafsu adalah Islam, iman, akal dan ilmu. Sebagaimana kata-kata seorang cendekiawan Islam: “Beruntunglah orang yang menjadikan akalnya sebagai pemimpin serta nafsu sebagai tawanan dan rugilah orang yang menjadikan nafsunya sebagai pemimpin serta akalnya sebagai tawanan”.

Justeru, tepuk dada tanya iman. Apakah iman kita mampu mengekang nafsu atau kita hanya mengikut kata nafsu?


Pencaci, pengeji gambaran jiwa kotor



SETIAP kata yang keluar daripada mulut mempunyai pengaruh dan implikasi besar terhadap orang lain. Apa saja kata yang keluar pasti akan memberi kesan mendalam di hati orang lain yang ditujukan dengan kata-kata itu.

Jika orang melemparkan kata kasar dan kotor kepada kita, hati akan panas membara. Jika orang bercakap menggunakan bahasa dan kata yang halus dan lembut, hati akan sejuk sesejuk air mengalir.

Imam al-Ghazali menyebutkan, “Kata-kata yang masuk ke dalam hati menerusi telinga adalah ibarat makanan yang masuk ke dalam perut menerusi mulut. Ada yang memberi manfaat dan ada yang menjadi mudarat. Ada yang menjadi penawar dan ada yang menjadi racun.”

Dalam hal ini, Islam mengambil berat terhadap setiap perkataan yang diucapkan. Allah mengutuk dan membenci orang yang menggunakan lidahnya untuk mencaci atau mengeji. Allah berfirman yang bermaksud: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji.” (Surah al-Humazah, ayat 1)

Hadis diriwayatkan daripada Abu Darda bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada yang lebih berat pada timbangan orang mukmin pada hari kiamat melainkan akhlak yang baik dan sesungguhnya Allah benci orang yang berperi laku dan berkata jahat (caci dan cela).” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Perbuatan memaki, menghina, menyumpah dan sebagainya sangat ditegah dalam Islam. Ia hanya menimbulkan kebencian, pertelingkahan dan permusuhan sesama manusia. Islam menganjurkan umatnya supaya mengeluarkan perkataan yang baik, halus, berlapik, manis, indah dan sopan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Berkatalah kepada manusia dengan kata-kata yang baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 83)

Perkataan yang baik bukan saja menggembirakan pendengar, malah boleh mendatangkan pahala seperti dijelaskan hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Perkataan yang baik itu adalah sedekah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Orang yang suka menghamburkan kalimat kasar dan kotor menandakan orang itu memiliki jiwa yang kasar dan kotor. Rasulullah SAW menekankan bahawa seorang mukmin yang sejati tidak sekali-kali menghamburkan kata-kata kasar, kotor, memaki, mengeji dan seumpamanya.

Hadis diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bukanlah seorang mukmin itu yang jadi pencaci, pelaknat, bukan juga yang suka berkata kotor atau lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Jika ditinjau sejarah kehidupan Rasulullah SAW, kita akan mendapati Baginda tidak pernah berkata kasar kepada sesiapa pun, sebaliknya Baginda sentiasa menjaga tutur kata serta cara bergaul dengan setiap masyarakat.

Sikap Rasulullah SAW itu hendaklah menjadi contoh ikutan umat Islam hari ini. Jika berkata, berbicara, bergurau, bergaul dengan orang lain hendaklah dengan cara baik, bersopan santun dan penuh berbudi bahasa.

Jika kita mengasihi orang lain dengan tidak menyakiti mereka, maka Allah merahmati kita. Tidak ada yang lebih berharga di dunia ini dan di akhirat nanti melainkan rahmat Allah.

Malaikat Maut~ Tetamu Yang Kerap Berkunjung


BETAPA kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang, iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali.. Andainya manusia sedar hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat Izrail.

Justeru itu, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu bersenang-lenang dan bergelak-ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikirkan dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa.

Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :

“ Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail : Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.”

Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhatikan oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut.

Meski pun mata manusia hanya mampu melihat benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu.

Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan. Ada yang menganggapkematian itu adalah suatu tabi’e biasa sebagai pendapat golongan athies, dan tidak kurang pula yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang zahir sahaja. Dia mengambil logik, bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti banjir, gempa bumi, kebakaran dan juga kemalangan samada diudara, laut dan daratan termasuk kemalangan jalan raya.

Selain itu, mereka juga melihat kematian disebabkan oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, taun dan sebagainya. Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang tersebut di atas. Jika berlaku kematian dikalangan mereka, lantas mereka bertanya, “ sebab apa si fulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah?”.

Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia, mengenal-pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.

Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.

Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang atau mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak akan tertangguh walau sesaat.

Walau bagaimana pun, ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi satu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang yang beriman dan sabar, kerana Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingati mati, untuk itu dia akan menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi orang muflis di akhirat kelak.

Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang-orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa berwaspada dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan yang tidak berguna.

Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan meraka, jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya, sebab itulah Allah SWT tidak memberi amaran terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di hadapannya, jika ada amaran terlebih dahulu nescaya dia akan terjerumus ke lembah bahaya itu.

Selain itu, Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang panjang. Antara lain menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah SWT iaitu para Rasul, nabi-nabi, wali-wali dan orang-orang solihin.

Selain itu juga, malaikat maut mengadu kepada tuhan betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam a.s, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang menyebabkan orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak-saudara dan orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.

Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai-bagai sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam a.s sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila berlakunya kematian, mereka akan berkata bahawa si anu itu mati kerana mengidap sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.

Ketika itu, Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT pada saat malapetaka atau sakit tenat seseorang itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah tiba.

Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang diamanahkan kepadanya.

Walau bagaimana pun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu samada bersebab ataupun tidak, sebagai mana yang dinyatakan pada awal tulisan ini bahawa ada ketikanya malaikat maut hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak-ketawa, hingga malaikat maut berasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal samada seseorang yang sedang sakit atau pun ketika sihat dan segar-bugar.

Firman Allah Taala yang bermaksud :

“ Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat ( pula ) mempercepatkannya. “

( Surah Al-A’raf ayat 34)

Melihat Allah S.W.T.


Soalan: Kenapa Allah s.w.t. tidak boleh dilihat dan tidakkah ia dapat menambah keyakinan manusia terhadap-Nya? Adakah keadaan ini akan berterusan? Kenapa Nabi Musa minta untuk melihat Allah? Tidakkah Musa tahu, Allah tidak boleh dilihat.

– Taufik Mustafa,

Kuala Kerai, Kelantan.

Jawapan: Setiap yang ada itu harus dilihat. Begitu juga wujud Allah boleh dilihat, tetapi ianya tidak akan berlaku di dunia ini (mustahil berlaku) selain dalam mimpi atau dengan hati dan cahaya keimanan. Sebab itu Musa mohon untuk melihatnya tetapi jawab Allah: Kamu tidak akan dapat melihat-Ku (di dunia ini) tetapi lihatlah kepada bukit itu, sekiranya bukit itu dapat bertetap di tempatnya maka kamu akan dapat melihat-Ku” (surah al-Araf ayat 143). Musa tahu hakikat ini semuanya tetapi kerana terlampau rindunya sewaktu datang menghadap-Nya di waktu yang Kami tetapkan, lalu terkeluar permohonan tersebut dari mulutnya.

Ternyata bila Allah tajalli (menzahirkan kehebatan-Nya ke bukit itu lalu jadilah bukit itu hancur seperti debu. Sehingga akhirnya Musa tersungkur dan jatuh pengsan. Dan bila dia sedar lalu berkata: Maha suci Engkau (ya Allah!) aku bertaubat kepada-Mu dan aku adalah sebahagian orang (benar-benar) berimam kepada-Mu sambungan akhir ayat (surah al-Araf ayat 143). Jadi apa yang dapat difahami bahawa hukum melihat Allah itu adalah harus tetapi mustahil berlaku di dunia ini. Tetapi pada hari akhirat memang akan berlaku. Ini seperti firman Allah s.w.t.: Muka pada hari itu akan berseri-seri melihat dan memandang kepada Tuhannya (surah al-Qiamah ayat 22-23).

Dan lagi syarat yang diberikan untuk melihat-Nya itu juga adalah harus, bila syarat suatu itu harus maka suatu itu juga (masyrutnya) adalah harus. Kita janganlah mengingkari nikmat melihat Allah ini kerana nikmat yang paling agung ini tidak akan dikurniakan kepada mereka yang menafikannya seperti kaum Muktazilah dan mereka yang sesat. Dalam hal ini Allah berfirman bermaksud: Untuk mereka yang (berusaha melakukan) kebaikan itu balasan syurga dan tambahan (satu kebaikan lagi) (surahYunus ayat 26). Kata ulama: Maksud satu tambahan kebaikan itu ialah nikmat melihat kepada Allah yang tidak ada sebarang nikmat lain dapat mengatasinya.

Kesimpulannya isu melihat Allah ini adalah merupakan kesalahan dan tidak harus diminta oleh sesiapapun. Sebab itu Musa bertaubat dari kesilapannya dan lupa bahawa Allah itu Maha Suci dari sebarang tempat yang tertentu sehingga dapat dilihat. Nabi Ibrahim tidak memintanya tetapi meminta untuk melihat rahsia kejadian-Nya sahaja. Allah berfirman bermaksud: Tuhanku perlihatkan kepadaku bagaimana Engkau hidupkan orang yang sudah mati, firman-Nya apakah kamu belum beriman (dengan kekuasaan-Ku) jawabnya; bahkan! Tetapi untuk penetapan dan keyakinan hatiku (surah al-Baqarah 260).

Anda perlu sedar bahawa berapa banyak perkara dari perbuatan manusia sendiri sudah lemah fikiran kita untuk memikirnya seperti peralatan perhubungan sekarang dan kecanggihan ciptaan sains. Di mana pada suatu masa dahulu perkara tersebut termasuk dalam perkara mustahil dan tidak masuk akal tetapi hari ini semuanya di hadapan mata. Allah berfirman bermaksud: Akan Kami perlihatkan mereka akan tanda kekuasaan Kami dari ufuk-ufuk langit dan pada diri mereka juga sehingga terbukti jelas bahawa al-Quran itu adalah benar (dari Allah) (surah Fusillat ayat 53). Tambahan pula sekiranya Allah dapat dilihat maka hilanglah hikmat dan tujuan kejadian alam dunia sebagai negeri tempat ujian ini kerana semua manusia akan beriman dan bertuhankan-Nya tidak ada se- orang pun yang syirik kepada-Nya. Dan juga batal dan sia-sialah kejadian syurga dan neraka-Nya. Wallahualam.

Tangguh mandi wajib
SOALAN: Saya mengalami demam campak yang agak teruk di muka dan tubuh badan. Kebetulan pula saya ingin mandi wajib selepas selesai haid. Tetapi keluarga menasihatkan saya jangan mandi, untuk mengelakkan kulit badan pecah dan meninggalkan parut. Adakah cara lain untuk mengatasinya?

– Siti Payung,

Klebang Besar, Melaka.

JAWAPAN: Anda patut mendengar nasihat keluarga anda tersebut demi untuk kebaikan diri sendiri. Ini kerana penyakit tersebut boleh menyebabkan kesan buruk sebagaimana yang diketahui umum. Begitu juga pada pendapat pakar perubatan, anda boleh melakukan tayamum sebagai ganti mandi wajib tadi. Kerana pada masa Rasulullah pernah berlaku di kalangan sahabat yang mati kesejukan akibat mandi wajib tersebut. Caranya amatlah mudah iaitu dengan menepuk dua tangan sebanyak dua kali, kali pertama untuk menyapu muka dan kali kedua untuk tangannya. Justeru dua anggota itu saja yang wajib disapu sebagai anggota tayamum. Apabila anda sudah bertayamum maka anda tidak perlu melakukan mandi wajib lagi. Dalam agama kita ini banyak kemudahan dan kelonggaran yang diberikan sesuai dengan keadaan dan kemampuan masing-masing. Wallahualam.

-

Solat Tahajud – Dari Perspektif Perubatan


Solat tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari,biasanya tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali juga sabagai shalatulail.Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.
Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W. mengenai perkara ini.

TIDUR DAN SOLAT TAHAJUD

Umumnya manusia mengatakan tidur malam perlu antara enam hingga lapan jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat seperti Dr Ray Meddis,seorang profesor di Department of Human Sciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja.

Waktu tidur boleh dibahagi kepada dua bahagian – tidur ayam dan tidur lelap.Mimpi biasanya berlaku dalam tidur lelap (deep sleep). Manusia perlu berlatih untuk dapat tidur lelap kerana tidur ayam adalah masa berangan-angan yang membuang waktu sahaja. Tidur yang sebenarnya ialah ketika tidur lelap yang mengikut kajian saintis Barat ialah selam tiga jam.

Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Ini kerana kita tidak terlatih atau mengikut peraturan yang perlu diikuti ketika tidur. Apabila seseorang atlit hendak memasuki suatu pertandingan lumba lari dia akan berlatih hampir setahun sebelum perlumbaan itu bermula. Dengan demikian dia ada harapan untuk memungut pingat emas. Demikian jugalah kita mesti melatih diri kita tidur mengikut peraturan.

Mengikut kajian ahli perubatan Barat, Sebelum kita merasa hendak tidur,mula-mula sekali kita akan merasa mengantuk (drowsiness ) di mana suhu badan kita akan menurun. Dengan mengatur waktutidur dan menggunakan jangkasuhu kita boleh latihkan diri kita untuk tidur bila perlu. Tidur yang diatur boleh menjimatkan masa kita dan membolehkan kita melakukan ibadah dan kerja-kerja lain.

Rasulullah S.A.W. telah memberikan contoh yang baik untuk tidur lengkap dengan doa-doanya. Bolehlah kita ringkaskan latihan untuk tidur malam seperti :

1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.

2. Tunaikan solat Isya’ sebelum tidur.

3. Bersihkan tempat tidur seperti tilam, bantal dan cadar dari habuk dan lain-lain kotoran.

4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.

5. Kurangkan masa tidur dari lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari untuk bulan pertama latihan; pada bula kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga jam sahaja.

Cara untuk kita tidur dan bangun juga mempunyai peraturan yang perlu diikuti untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan diri dari dihidapi pelbagai penyakit. Umpamanya kita yang suka bangun tidur melompat dari tidurnya boleh menghadapi risiko sakit jantung yang boleh membawa maut. Demikian menurut pendapat seorang doktor dari China – Dr Huang Guoxiong dari Kolej Perubatan Lioning.

Di dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam.
Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud : ” Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.” ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )

IBADAH TENGAH MALAM DAN AWAL PAGI DALAM AGAMA LAIN.

Penulis pernah bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru dan ketua agama yang bukan Islam seperti Buddha, Kristian, Tao,Confucious dan Sikh. Dalam perhatian penulis, mereka juga mengadakan amalan pada tengah malam seperti ‘berzikir’ dan membaca kitab suci agama mereka. Untuk mengelak dari rasa mengantuk, mereka berlatih tidur hanya lebih kurang tiga jam atau empat jam sehari malah ada yang kurang dari itu. Antanra agama yang dimaksudkan itu ialah agama Buddha, Kristian,Tao,Confusies dan Sikh.

PENDAPAT AHLI SASTERA BARAT

Terdapat juga ahli sastera barat yang menceritakan mengenai kelebihan mengurangkan tidur untuk mencapai kerjaya yang cemerlang.

Bila ditanya apakah rahsia kejayaan mereka, mereka menjawab : ” The woods are lovely, dark and deep but I have promises to keep and miles to go before I sleep.”

Maksudnya ” Taman itu indah, gelap dan tebal tetapi saya mempunyai temujanji yang mesti ditunaikan dahulu sebelum saya tidur.”

“The heights by great men reached and kept were not attained by sudden fight. But while their companions sleep were toiling upwards in the night.” – Longfellow

Maksudnya ” Pencapaian kerjaya yang tinggi oleh orang-orang ternama tidak didapati serta merta tetapi mereka bekerja keras sehingga larut malam pada waktu sahabat-sahabat mereka sedang nyenyak tidur. “

Ini jelas menunjukkan mereka meminimakan waktu tidur untuk mencapai kejayaan dalam hidup mereka.

Sekarang kita kembali kepada perbincangan solat tahajud. Apakah kebaikan dan kelebihan yang kita perolehi dari mengerjakan solat tahajud sedangkan ketika itulah manusia sedang nyenyak tidur.

Dari segi fikiran logik, kita tidak akan faham bahawa suruhan Allah itu mendatangkan kebaikan. Solat tahajud meneguhkan iman kita, jiwa kita, mental kita untuk menghadapi masalah hidup duniawi dan lain-lain lagi yang Allah Maha Mengetahui.

Dari segi sains perubatan pula, kita akan menyedut oksigen khusus yang wujud di atmosfera bumi antara lebih kurang jam tiga pagi hingga terbit matahari dan menggerakkan otot-otot di dalam badan kita ke arah menyegarkan badan dan melicinkan gerak saliran darah. Kedua-dua oksigen dn gerak otot itu sangat penting dalam memastikan kesihatan tubuh badan manusia. Oksigen itu hilang dari atmosfera bumi selepas matahari terbit dan tidak datang lagi sehingga esok pagi. Hanya manusia yang bangun pada waktu ini dapat menikmati oksigen tersebut. Mereka yang bangun tidur lewat tidat merasa nikmat oksigen ini.


Orang tamak sentiasa berasa hidup dibebani


DALAM diri manusia ada sifat baik dan buruk. Sifat baik dipacu rasa keimanan, ketakwaan dan kemanusiaan, manakala sifat buruk didorong nafsu buruk, sifat kebinatangan, kejahilan dan ingkar perintah.

Sifat baik dan buruk saling bertentangan mempengaruhi antara satu sama lain untuk lebih menguasai corak kehidupan seseorang. Jika iman dan takwa lebih berkuasa, maka aman hidup seseorang daripada pengaruh sifat buruk yang didalangi syaitan.

Sifat tamak adalah salah satu sifat buruk, yang wujud secara bersama dengan sifat buruk lain seperti angkuh, cintakan dunia, kedekut, pecah amanah dan iri hati. Ia berlawanan dengan sifat bersyukur, ikhlas, pemurah, rendah diri dan jujur.

Orang tamak meletakkan usaha mencari habuan dunia mengatasi mencari bekalan untuk hari akhirat. Bahkan, individu berkenaan sanggup melakukan apa saja asalkan matlamatnya tercapai, biarpun perbuatan itu bertentangan dengan syariat.

Tidak dinafikan harta dan kedudukan adalah keperluan hidup. Keteguhan, kestabilan dan taraf hidup seseorang lazimnya diukur berdasarkan sebanyak mana harta yang dimiliki dan kedudukan darjat dalam masyarakat. Keharmonian, kerukunan dan kebahagiaan sesebuah rumah tangga juga banyak dipengaruhi harta.

Justeru, Islam menggalakkan umatnya mencari harta dan kedudukan yang baik dalam masyarakat. Sekiranya usaha itu dilakukan dengan ikhlas menepati tuntutan syariat, maka ia juga termasuk dalam kategori ibadah. Individu yang melakukan amanah itu beroleh keuntungan di dunia dan akhirat sekali gus.

Sebaliknya, sikap tamak meletakkan urusan mencari kekayaan dan kedudukan dengan jalan keterlaluan dan terdorong melakukan perbuatan salah. Orang tamak sentiasa tidak puas dan cukup apa dimiliki. Sikap terlalu cintakan kebendaan dan kemewahan mendorong perasaan untuk memiliki semua apa yang ada di dunia ini.

Orang tamak sentiasa lapar dan dahaga kehidupan dunia. Makin banyak yang diperoleh dan menjadi miliknya, semakin rasa lapar dan dahaga untuk mendapatkan lebih banyak lagi. Jadi, mereka sebenarnya tidak dapat menikmati kebaikan daripada apa yang dimiliki, sebaliknya menjadi satu bebanan hidup.

Lanjutan itu, kehidupan seharian hanya ditumpukan untuk terus mendapat apa yang diingini. Orang tamak lupa tujuan sebenar amanah hidup di dunia ini. Mereka tidak peduli hal lain, melainkan mengisi segenap ruang memuaskan nafsu tamak.

Sesungguhnya Allah mencipta manusia sebagai khalifah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba-Nya. Firman Allah yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali supaya mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat, ayat 56).

Ironinya, orang tamak tidak pernah berasakan dirinya sebagai hamba-Nya. Sebaliknya, mereka menjadi hamba kepada dunia dan bertuhankan nafsu. Mereka mempertaruhkan seluruh usaha dan minda untuk mengejar bayang kemewahan dunia.

Sebab itu, orang tamak biasanya takutkan mati. Mereka cintakan dunia dan sentiasa mengejar kemewahan hidup. Kematian hanya akan menyebabkan apa yang dimiliki terpaksa ditinggalkan menjadi habuan orang yang masih hidup.

Jadi, biarpun diketahui hari kiamat (kematian) semakin hampir, mereka yang tamak masih berusaha menambahkan apa yang diingini. Ketika itulah antara masa paling dinantikan syaitan untuk terus menyesatkan manusia dan meninggal dalam keadaan tidak beriman.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Hari kiamat telah hampir dan manusia masih lagi bertambah tamak kepada dunia dan bertambah jauh daripada Allah.” (Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim).

Sebenarnya orang tamak selalu rugi. Sifat tidak bersyukur dan tidak puas dengan apa diperoleh, menyeabkan hidup makin tekanan. Perasaan tidak puas atau tidak cukup dengan apa yang dimiliki adalah satu penyakit jiwa yang boleh menyebabkan seseorang hilang kawalan hidup.

Bidalan Melayu menyamakan sifat orang tamak seperti anjing dengan bayang-bayang, melepaskan seketul daging di mulutnya kerana inginkan daging yang lebih besar. Sedangkan, daging besar itu hanyalah bayang-bayang di dalam air, daging yang sedang digigitnya sendiri.

Sesungguhnya harta itu ialah amanah Allah kepada seseorang. Harta hendaklah dicari dengan cara yang halal dan kemudian dibelanjakan pula ke jalan kebaikan. Orang yang memiliki harta menunjukkan rasa bersyukur dengan cara mengeluarkan zakat dan bersedekah.

Tamak lahir daripada sikap tidak bersyukur. Orang tamak ingin memperoleh lebih daripada itu dan melakukan apa saja tanpa memikirkan akibatnya.

Individu beriman tidak mudah menerima menerima bulat-bulat tawaran kemewahan hidup, melainkan melalui cara yang dipastikan halal. Sikap mengikut hawa nafsu membawa kepada kebinasaan. Nafsu dikuasai syaitan tidak mungkin mendatangkan kebaikan.

INTI PATI

Mencari harta adalah ibadah
Islam menggalakkan umatnya mencari harta dan kedudukan dalam masyarakat dengan ikhlas.
Orang tamak lupa tujuan sebenar amanah hidup di dunia.
Harta adalah amanah Allah kepada seseorang yang sepatutnya dibelanjakan ke jalan kebaikan.
Keharmonian, kerukunan dan kebahagiaan sesebuah rumah tangga juga banyak dipengaruhi harta.

No comments:

Post a Comment