RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: “Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu.” – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Anak adalah amanah Allah yang diserahkan kepada ibu bapa untuk dijaga serta dipelihara dengan membimbing mereka ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Membeza-bezakan anak adalah faktor yang boleh merosakkan peribadi dan jiwa mereka kerana akan timbul perasaan hasad dengki hingga membuatkan mereka sering bergaduh serta hilang rasa kasih sayang sesama sendiri.
Sewajarnya ibu bapa menyamakan layanan antara anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, sempurna atau cacat, cantik atau tidak kerana semua perkara daripada segi pakaian, makanan, pemberian, kasih-sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi dan diberi sama rata apatah lagi hubungan antara ibu bapa dengan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab.
Sesungguhnya ibu bapa yang berlaku adil akan diberikan ganjaran syurga di akhirat kelak sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki daripada anak perempuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga.” – (Hadis riwayat Abu Daud dan Hakim)
Allah melihat pada hati
Bersama:MOHD. FARID RAVI ABDULLAH (Pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor)
SOALAN:
PADA zaman sekarang, ramai yang terpedaya dengan cara penampilan seseorang. Contohnya, kalau orang itu ulama besar, maka dia mesti berjanggut, memakai jubah dan berserban. Sehinggakan jika ulama itu berpakaian moden sedikit maksudnya tidak berjubah dan berserban, ramai yang berpendapat dia orang yang tidak berilmu. Soalannya, apakah cara berpakaian sudah cukup dijadikan asas menentukan seseorang itu ulama atau sebaliknya?
JAWAPAN:
ULAMA perlu ada identitinya. Maka identitinya ialah pakaian. Di sesetengah negara, pakaian itu melambangkan bahawa dia adalah orang alim. Ulama itu dikenali dengan pakaian jubahnya, serbannya dan cara perwatakannya.
Mereka berpakaian demikian adalah semata-mata kerana mengikut sunah Nabi s.a.w. Walaupun sebahagian negara Arab menjadikan memakai jubah itu sebagai budaya. Sekiranya orang itu memakai jubah kerana pakaian itu menjadi tradisinya masyarakatnya maka dia hanya mendapat pahala kerana menutup aurat.
Jika dia berpakaian kerana mahu mencontohi Nabi s.a.w., maka dapat pahalanya kerana mengikut sunah Nabi s.a.w. Bezanya di sini ialah niat.
Namun demikian pengalaman semasa berada di Jordan selama lima tahun, saya dapati cara berpakaian ulama di sana terbahagi kepada dua. Para sarjana Islam di universiti-universiti Jordan yang berasal dari Jordan mahupun Palestin mereka berpakaian seperti ahli korporat.
Pakaian mereka ialah blazer dan bertali leher. Dan ada pula yang membaca khutbah dengan berpakaian demikian. Kerana bagi mereka, Islam tidak memutlakkan pakaian ulama mesti berjubah dan berserban serta berjanggut.
Bila kita teliti ulama yang berjubah, berserban dan berjanggut itu lebih sunahnya. Ulama yang tidak berjubah dan tidak berserban itu tidak boleh dikatakan tidak mengikut sunah. Menutup aurat dan berpakaian kemas juga termasuk di dalam mengikut sunah Nabi s.a.w.
Pandangan saya, yang perlu diberi perhatian ialah kepada ilmu ulama itu bukan pada pakaiannya. Pakaian yang melambang zahir seseorang dan belum tentu orang itu benar-benar berilmu dalam agama.
Contohnya di Iraq, orang yang berjubah dan berserban dikategorikan sebagai alim dalam empat mazhab. Sebab itu pakaian itu adalah sebahagian daripada sunah Nabi s.a.w, dan banyak lagi sunah baginda yang lebih besar yang terabai.
Berjubah, berjanggut dan berserban semata-mata bukan tiket untuk digelar ulama. Lebih-lebih lagi bila seseorang alim itu terikat dengan etika berpakaian di tempat kerja. Di negara ini masyarakat Islam masih melihat yang ulama mesti berjubah dan berjanggut atau berserban kalau tidak dia akan dipandang serong seolah-olah tidak cukup sifat kewarakannya.
Kesimpulannya, masyarakat perlu melihat kepada ketokohan seseorang itu daripada sudut ilmunya, penghayatannya, cara komunikasinya, kesungguhannya dalam kerja dan cintanya pada Islam. Bukan sekadar melihat dan menilai seseorang itu melalui zahirnya.
Baginda Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa Allah s.w.t melihat pada hati dan amalan seseorang itu bukanya pada zahir seseorang.
Daripada Abu Hurairah r.a baginda bersabda yang bermaksud, Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta benda kamu akan tetapi Allah melihat kepada hati perut kamu dan amalan kamu. (riwayat Muslim, no: 4651)
Dalam sepotong hadis yang lain diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kamu dan tidak pula melihat kepada rupa paras kamu akan tetapi perkara yang dilihat oleh Allah ialah hati kamu. Lalu baginda mengisyaratkan ke arah hati baginda dengan jari-jari baginda. (riwayat Muslim, no: 2564)
Tidak ada rujuk selepas talak tiga
Sayid Qutub berkata: Talak yang ketiga – sebagaimana dijelaskan – merupakan bukti yang menunjukkan ada kerosakan yang sebenar dalam kehidupan suami isteri ini, yang tidak ada jalan lagi untuk memperbaikinya dalam masa yang hampir – jika si suami itu sungguh-sungguh dan benar-benar hendak bercerai – dalam kes yang seperti ini eloklah keduanya masing-masing berusaha mencari kongsi hidup yang baru.
Namun, talak yang dilakukan dengan sikap bermain-main atau gopoh-gapah atau tolol, maka perbuatan ini pastilah dibataskan agar ia tidak terus mempermain-mainkan hak talak yang telah disyariatkan supaya menjadi injap keselamatan (rumahtangga) dan supaya menjadi ubat darurat untuk mengubati penyakit yang sukar diubati, bukannya supaya ia menjadi sasaran permainan dan kegopohan. Dan di waktu itu kehidupan rumahtangga ini pastilah ditamatkan kerana ia tidak lagi mendapat penghormatan dan pengawasan dari suami.
Allah berfirman, Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (mas kahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya. (al-Baqarah: 230)
Firman Allah s.w.t: Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.
Al-Mawardi berkata: Maksud talak di sini dengan dua pendapat:
Pertama: Talak tiga. Inilah pendapat al-Suddi.
Kedua: Yang demikian itu pilihan. Inilah pendapat Mujahid.
Said bin al-Musayyib berkata: Isteri yang ditalak tiga menjadi halal kepada suami pertamanya hanya semata-mata berlakunya akad perkahwinan dengan suami kedua sekalipun suami kedua tidak menyetubuhinya berdasarkan firman Allah di atas.
Ini kerana yang dimaksudkan dengan perkahwinan itu ialah akad. Kenyataan ini tidak benar dari dua sudut:
Pertama: Kita katakan kepadanya yag dimaksudkan dengan perkahwinan ialah persetubuhan.
Kedua: Lafaz nikah dalam al-Quran membawa maksud akad dan persetubuhan. Jadi mengapa dalam ayat ini beliau mengkhususkan dalam erti akad sahaja.
Ibn al-Arabi berkata: Dalam ilmu fiqh tidak ada persoalan yang lebih sukar bagiku selain persoalan ini. Hal ini kerana dalam usul fiqh membincangkan adakah hukum itu berkaitan dengan permulaan nama atau akhirnya? Hal itu kerana kami terangkan dalam usul fiqh dan sebahagian penerangan yang lalu.
Firman Allah: Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baru itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (mas kahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.
Kesalahan
Al-Baghawi berkata: Maksudnya, apabila suami kedua telah menceraikannya setelah bersama dengannya maka tiadalah menjadi kesalahan untuk bekas suami yang pertama berkahwin dengan bekas isteri tersebut.
Ibn al-Arabi berkata: Ayat ini merupakan dalil bahawa isteri itu boleh mengahwininya sendiri kerana akad nikah itu disandarkan kepadanya. Mengikut mazhab Maliki, kalau Said bin Musayyib berpendapat seperti itu di samping pendapatnya bahawa nikah itu bererti akad maka tentulah benar alasannya.
Namun bagi kami dan anda yang berpendapat bahawa pernikahan dalam ayat ini bermaksud persetubuhan maka tidak benarlah kita menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa seseorang perempuan boleh mengahwinkan dirinya sendiri. Inilah sebenarnya pendapat jumhur ulama.
Firman Allah: …dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.
Al-Alusi berkata: Ia merupakan isyarat kepada hukum-hukum yang tersebut yang terpelihara daripada menerima perubahan.
Mungkin ada orang berkata: Apakah dosa perempuan yang terancam hidupnya, keamanannya dan kemantapannya disebabkan sepatah kata yang keluar dari mulut seorang lelaki yang bersikap bermain-main?
Kita sedang menghadapi satu realiti dalam kehidupan manusia. Apakah satu cara lain untuk menghadapi perkara ini jika kita tidak menggunakan cara ini? Apakah anda berpendapat kita memaksa si suami yang seperti ini supaya terus hidup dengan isteri yang tidak lagi memandang hormat kepadanya?
Misalnya kita boleh kata kepada si suami itu: Kami tidak mahu berpegang dengan talak awak ini kerana kami tidak mengiktirafkannya dan kami tidak akuinya. Ini isteri awak. Ia adalah tanggungjawab awak. Sekarang ambillah dia!
Tentulah kita tidak boleh buat begitu kerana perbuatan ini merupakan satu penghinaan terhadap isteri dan terhadap hubungan suami isteri yang tidak diredai oleh Islam yang menghormati perempuan, menghormati perhubungan suami isteri dan yang telah mengangkatkan hubungan ini ke tahap ibadat kepada Allah.
Malah hubungan yang betul terhadapnya ialah mengharamkannya dari isteri yang dipermainkan kehormatan perhubungan dengannya dan mewajibkan ke atasnya mengadakan mas kahwin dan akad yang baru jika ia membiarkan isterinya (hingga habis idah) dan berpisah darinya tanpa rujuk di dalam dua talak yang pertama itu, dan mengharamkannya dari isterinya pada talak yang ketiga secara mutlak kecuali si isteri itu telah berkahwin dengan orang lain.
Ini bermakna ia telah kehilangan mas kahwin dan nafkah yang dibelanjakan kepada isterinya dan selepas itu kita mewajibkan ke atasnya nafkah idah dalam semua keadaan. Yang penting kepada kita ialah kita harus melihat realiti jiwa manusia dan realiti kehidupan mereka bukannya melayang-layang dalam alam impian yang tidak berpijak di bumi atau di alam mimpi!
Iktibar Ayat
- Selepas talak tiga tidak boleh bagi bekas suami merujuk sehingga bekas isteri itu berkahwin dengan suami yang baru. Mengikut hadis sehingga dia telah bersama dengan suaminya yang baru kemudian diceraikan ketika itu barulah boleh bekas suami yang pertama berkahwin dengannya semula.
- Talak tidak boleh dibuat main-main, lakonan dan bergurau senda kerana ia dikira sebagai jatuhnya talak.
- Golongan yang berilmu dapat memahami keterangan Allah.
Imam wajib memahami hak makmum
SOALAN
ADAKAH dibolehkan makmum membaca surah al-Fatihah sebelum imam habis membaca surah al-Fatihah tersebut? Ini kerana kebiasaannya apabila makmum membaca surah al-Fatihan selepas imam tamat membaca surah tersebut menyebabkan makmum tidak sempat untuk menghabiskan bacaan untuk rukuk bersama-sama dengan iman. Oleh itu, apa perlu dilakukan dan apakah hukumnya?
JAWAPAN
Adab menjadi imam ialah memahami hak makmum dalam solat. Dalam Mazhab al-Syafie imam hendaklah memberi sedikit masa kepada makmum selepas membaca surah al-Fatihah untuk membolehkan makmum membacanya. Ini kerana solat tidak sah jika tidak membaca surah al-Fatihah. Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak dikira solat seseorang itu melainkan dengan adanya al-Fatihah”. (Ibn Hibban).
Dalam riwayat yang lain Baginda bersabda yang bermaksud: “… seseungguhnya aku dapati kalian membaca di belakang imam? Sahabat menjawab : Ya Rasulullah kami membaca, lantaran Baginda bersabda: Jangan kalian lakukan yang demikian melainkan kamu boleh membaca surah al-Fatihah”. (Ibn Abdul Bir, hadis sahih, sanad yang bersambung).
Seperti soalan yang dikemukakan di atas jelas imam tidak memahami hak makmum. Ini menyebabkan perjalanan solat berjemaah tidak teratur, kerana imamnya sempat membaca al-Fatihah dan surah al-Ikhlas, manakala makmum tidak sempat habis.
Makmum akan berada dalam keadaan yang serba salah sebab pertamanya makmum tidak boleh sama sekali membaca bersama atau mendahului imam dalam bacaan.
Maksudnya makmum wajib mendengar dan menghayati surah al-Fatihah yang dibaca oleh imam. Setelah imam selesai barulah makmum boleh membaca surah al-Fatihah. Sekiranya imam tidak memberi ruang untuk makmum membaca surah al-Fatihah malahan terus membaca surah al-Ikhlas, maka bila masanya makmum akan membaca surah al-Fatihah? Sedangkan makmum tidak boleh membaca apa-apa sekiranya imam sedang membaca. Namun makmum perlu membaca al-Fatihah walaupun imam sedang membaca surah al-Ikhlas. Imam wajib memahami hak makmum.
SOALAN
Apakah hukum membaca surah al-Fatihah dengan satu nafas sahaja tanpa berhenti?
JAWAPAN
Harus membaca surah al-Fatihah dengan satu nafas. Bacaan seperti ini dikira bacaan wasal antara ayat dengan ayat yang berikutnya. Ulama yang pakar dalam bacaan al-Quran mengharuskannya.
Namun membaca surah al-Fatihah dengan satu nafas ada syarat-syaratnya. Jika syarat-syaratnya dipenuhi bacaannya sah dan jika dibaca dalam solat dengan satu nafas, solatnya juga sah. Syaratnya ialah;
*Memahami makna wasal (bacaan sambung antara satu ayat dengan ayat yang berikutnya)
*Memahami makna wakaf (bacaan yang diberhentikan terutamanya di hujung ayat)
*Memelihara hukum tajwid hukum tanwin dan nun mati, hukum mim
*Memelihara panjang pendek
*Memelihara fasahah, makraj huruf dan sifat huruf.
Persoalan yang timbul adalah adakah orang membaca surah al-Fatihah dengan satu nafas? Kalau ada cukup luar biasa, terutamanya nafas yang cukup panjang. Secara normal bila seseorang membaca surah al-Fatihah dengan wakaf pada setiap penghujung ayatnya akan mengambil masa lebih kurang hampir satu minit. Jika baca sambung mungkin juga tak sampai setengah minit.
Seterusnya kita ditegah daripada membaca al-Quran dengan bacaan yang laju, sehingga tidak cukup harakat panjang pendek atau tidak cukup kadar harakat bagi gunnahnya. Sebenarnya orang yang membaca al-Quran dengan kadar cepat berkemungkinan melanggar hukum-hukum tajwid.
Falsafah solat adalah demi menghayati solat dari mula hingga akhirnya. Ini termasuklah menghayati bacaan dalam solat. Bacaan yang laju tidak dapat dihayati maknanya. Selalu disebut contohilah bacaan syeikh-syeikh Arab yang muktabar dalam bacaan al-Quran.
Perlu diingat bahawa setiap ayat daripada surah al-Fatihah bila wakaf padanya maka akan dipuji oleh Allah s.w.t. Ini jelas dalam tafsir Ibn Kathir menyebut yang bermaksud: “Selepas membaca al-Hamdulillahi rabbil alamin, Allah akan menjawab: Sesungguhnya hambaku telah memuji aku…begitulah Allah s.w.t. akan menyebut-nyebut akan hamba yang memujinya, apatah lagi surah al-Fatihah sarat dengan doa dan harapan (Ibn Kathir, jld:1, hlm:43).
Justeru itu, yang afdalnya ialah membaca surah al-Fatihah dengan wakaf pada setiap penghujung ayatnya, wakaf di penghujung ayat juga dikenali dengan wakaf tam (berhenti kerana sempurna maknanya). (Husniy Syeikh Uthman, Haqq al-Tilawah, hlm:48-49)
Wakaf ini adalah mengikut cara al-Quran diturunkan, bermaksud ketika Jibril menyampaikan al-Quran, Jibril berhenti di situ. Maka penghujung ayat itu diberi tanda wakaf. Berdasarkan wakaf itu jugalah ayat-ayat itu dikira. Sebab itulah setiap kali Jibril wakaf pada ayat, bermaksud makna bagi ayat itu sempurna.
Adapun wakaf Jibril lain perbincangannya. Perlu ingat juga tidak semestinya ayat pertama dengan ayat kedua membincangkan topik yang sama. Kadang-kadang berlaku perubahan topik dalam satu surah walaupun ayatnya berurutan. Ini tidak bermaksud topiknya berurutan. Bukan sahaja surah al-Fatihah malahan surah-surah yang lain juga adalah lebih baik dibaca dengan wakaf di penghujungnya, melainkan ayat-ayat daripada beberapa surah yang tertentu.
SOALAN
Jika seseorang makmum yang sembahyang berjemaah membaca dalam sembahyang dengan suara perlahan akan menimbulkan keraguan kepadanya sama ada bacaannya itu sampai makhraj atau tidak, betul atau salah. Dengan itu dia membacanya dengan suara yang agak tinggi. Apakah bacaannya akan menimbulkan gangguan kepada makmum yang lain? Jika mengganggu apa hukumnya?
JAWAPAN
Bacaan orang yang solat berjemaah kadarnya hanya didengari oleh telinganya sahaja. Jika lebih kuat daripada itu boleh mengganggu orang lain atau mengganggu jemaah di sebelahnya. Mengganggu orang makmum yang lain dengan menguatkan bacaan hukumnya makruh.
Saudara tidak perlu risau, baca perlahan atau baca kuat tiada kaitannya dengan betul atau salah makhraj seseorang. Ramai yang baca kuat tetapi makhraj masih salah, dan tidak semestinya yang baca kuat itu betul makrajnya. Dan tidak pula orang yang membaca perlahan salah makhrajnya
Ketepatan makhraj adalah berdasarkan kepada ilmu, seseorang itu mesti tahu di mana tempat keluarnya huruf qaf, mim, kho dan sebagainya daripada huruf-huruf hijaiyyah. Bila kita pasti makrajnya dan tepat maka kita baca perlahan pun sah, kerana makhrajnya kena pada tempatnya.
Janganlah sampai demi mencari kesempurnaan solat kita, kita mengganggu solat orang lain.
No comments:
Post a Comment