Sebagai seorang perempuan yang baru ingin bergelar wanita, saya amat terpanggil untuk menulis di ruangan ini. Sewaktu kecil dulu, ketika baru belajar mengenai kelebihan satu darjat lelaki berbanding perempuan, saya begitu sakit hati apabila memikirkannya. Ditambah pula dengan kisah-kisah zaman Jahiliah di mana wanita bagaikan barangan murahan. Sesuka hati diperlakukan kebanyakan lelaki bersifat binatang. Tidak melampau saya katakan saya rasakan dunia ini tidak adil lebih-lebih lagi dalam sesetengah tradisi yang terlampau melebihkan lelaki. Baik dari segi layanan, kedudukan dan keistimewaan.
Saya benci kepada lelaki yang tidak hebat tetapi kecoh menjaja ‘kehebatan’ lelaki.
Mungkin ketika itu saya masih mentah untuk mengadili. Namun, seiring dengan usia saya mula memahami, kelebihan satu darjat dalam Islam bukanlah ‘tiket’ utuk hak-hak yang lebih semata-mata tetapi adalah penekanan ‘kewajiban’ tanggungjawab yang lebih.
Wanita sajakah yang bersalah sedang lelaki yang sepatutnya memimpin wanita itu yang merosakkannya? Bukankah lelaki yang ‘lebih’ bersalah berdasarkan tanggungjawabnya yang lebih? Persoalan ini tiada maknanya untuk lelaki-lelaki durjana kerana mereka bukan lagi khalifah amanah yang punya akal dan hati. Justeru, sebagai insan bergelar wanita, pandai-pandailah menjaga diri. Wanita yang baik itu lebih baik dari seribu lelaki yang baik dan wanita yang keji itu lebih keji dari seribu lelaki yang keji. Martabat sesuatu kaum terletak pada martabat wanita-wanitanya. Kenyataan-kenyataan ini menunjukkan betapa martabat wanita itu sangat penting, genting, fleksibel dan julat darjat itu juga sangat besar. Pilihlah yang terbaik untuk diri dan utamakanlah keimanan agar mendapat ketenangan abadi.
Tidak lupa buat suami-suami yang begitu angkuh dengan kuasa seorang suami, sebaik-baik lelaki adalah lelaki yang berbuat baik pada isterinya. Jangan hanya tahu melabelkan seorang isteri itu berdosa tanpa melihat dosa sendiri. Seorang suami tidak akan masuk syurga selagi isterinya belum layak ke syurga. Sebagai contoh, benar seorang isteri tidak boleh keluar rumah tanpa izin suami, tapi sudahkah si suami menjaga hati isterinya? Syurgakah rumah itu buat isterinya? Tidak berdosakah dia menyakiti hati wanita yang rapuh seperti kaca? Isteri juga seorang manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesalahan seperti juga suami.
Jiwa seorang wanita itu sangat perlu kepada kasih sayang dan perhatian, berikanlah keperluan hakiki ini supaya seorang isteri itu bahagia di samping suami tercinta. Belajarlah menjadi pemimpin yang bukan sekadar dihormati tapi juga amat dikasihi supaya nanti lelaki juga merasa damai dan bahagia nikmat dari kepimpinan sejati. Renungkanlah generasi Adam dan Hawa.
No comments:
Post a Comment