'Ya Allah, bantulah kami agar kami sentiasa ingat, bersyukur dan beribadah dengan baik kepadaMu" Aku sekadar menumpang di dunia ini. Selagi ada umur, selagi itulah aku cuba berbakti, semoga aku dirahmati dan diberkati... Tuhanku... berilah aku hidayah untuk berbicara dari sudut hati dan pandangan mata... Amin..

MENGIKUT BLOG YANG BAIK KANDUNGAN DAN MANFAAT

Dari Abu Hurairah r.a…Nabi s.a.w. sabdanya: "Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu dari pahala-pahala mereka, dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak kejalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka."
Petikan Daripada Kitab Fikhul Jihad Karangan Prof.Dr.Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi
"Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam,menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam merupakan satu jihad utama"

Followers

Saturday, June 19, 2010

Jimat cermat bawa berkat



BERBELANJA merupakan satu aktiviti kehidupan harian yang berkaitan langsung dengan aktiviti muamalah sesama manusia. Naluri manusia yang berkaitan dengan kehidupan kebendaan tidak dapat dipisahkan. Secara semula jadi, manusia mempunyai naluri sukakan harta dan kekayaan sebagai memenuhi keperluan dan perhiasan hidup.

Memenuhi keperluan hidup seperti makan, minum dan pakaian sebagai sebahagian satu keperluan. Bahkan ia menjadi satu aktiviti ibadah dan menjadi tuntutan agama agar kita sentiasa mencari kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Dalam memenuhi tuntutan perbelanjaan, syaratnya mestilah betul dan berniat ikhlas. Berbelanjalah dalam perkara yang halal dan sentiasa bersyukur agar setiap perbelanjaan yang kita lakukan mendapat keberkatan.

Tentunya, kita perlu beringat bahawa apabila berbelanja, kita tidak boleh boros, tamak dan lupa melaksanakan tuntutan ibadah seperti leka dan meninggalkan sembahyang kerana asyik berurusan membeli-belah.

Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud : ‘Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebarlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah’. – Surah al-Jumaat: 10.

Agama Islam melarang umatNya bersifat malas dan miskin kerana ia boleh memberi beban kepada masyarakat dan adakalanya ia boleh membawa kepada kekufuran.

Sebagai pengguna, kita hendaklah bijak mengurus perbelanjaan. Pengguna yang bijak adalah pengguna yang sentiasa berjimat cermat dan mengambil berat untuk menabung, menyimpan atau melabur.

Elakkan diri daripada sentiasa memikirkan untuk berhutang dan kalau terpaksa berhutang, kita mestilah mengambil kira kemampuan untuk membayarnya semula. Kata orang tua ‘memadamkan kerak dengan periuk’.

Nabi Yusuf a.s ketika menjadi Menteri Kewangan Mesir meminta raja dan rakyat bercucuk tanam dan menyimpannya selama tujuh tahun sebagai keperluan untuk menghadapi musim kemarau, mala petaka dan kebuluran. Firman Allah: ‘Yusuf menjawab: Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam, biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.’ – Surah Yusuf: 47.

Sifat boros dan mengikut nafsu serta tidak bersyukur terhadap kurniaan Allah merupakan sifat yang dibenci Allah s.w.t.

Firman Allah yang bermaksud: ‘Makan dan minumlah dan jangan kamu boros, sesungguhnya (Allah) tidak menyukai golongan pemboros.’ – Surah al-A’araf: 31.

Elakkan diri menjadi seorang pembazir kerana sifat demikian merupakan amalan buruk (amalan syaitan). Firman Allah yang bermaksud: ‘Sesungguhnya golongan pembazir adalah sahabat-sahabat syaitan.’- Surah al-Israk: 27.

Menurut al-Qurtubi, maksud sahabat syaitan adalah dari segi perlakuan buruk, membelanjakan harta terhadap perkara maksiat dan menunjukkan sifat kufur terhadap nikmat Allah s.w.t dan mengabaikan ketaatan kepada Allah s.w.t.

Amalan tamak pula adalah sifat buruk dengan berbelanja mengikut perasaan, berlumba-lumba dan menonjol diri. Apa pun dalam berbelanja, sentiasalah kita amalkan sifat sederhana dan seimbang serta tidak kedekut.

Sementara itu, dalam berhutang pula, kita mesti ukur baju ikut badan sendiri.

Rasulullah s.a.w mengingatkan ini dalam sabdanya yang bermaksud: ‘Hati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan pada malam hari dan menyebabkan kehinaan pada siang hari.’- Hadis riwayat al-Baihaqi.

Dalam soal perbelanjaan, peniaga, pengusaha, pengedar dan pemborong hendaklah sentiasa menanam sifat adil dan ihsan serta bertanggungjawab memenuhi tuntutan sosial. Kejujuran dan kebenaran mestilah diutamakan dalam setiap urusan perniagaan.

Abu Hurairah pernah menceritakan, satu ketika Rasululah s.a.w berjalan dipasar dan melihat seorang penjual gandum. Baginda letakkan tangannya pada gandum itu dan mendapati tangannya basah. ‘Wahai penjual, apa yang terjadi kepada gandum ini ?’. Jawabnya: “Gandum ini basah terkena hujan.” Lalu Baginda bersabda: ‘Kenapa kamu tidak meletakkan gandum yang basah di bahagian atas agar pembeli tahu?. Orang yang menipu bukan dari golongan kami.’ Penipu adalah jalan ke neraka dan siapa yang mengamalkan sesuatu yang tidak sesuai dengan cara hidup Islam adalah dikutuk’.



Amalan Manusia Dibalas Seadilnya


DAN bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya ituakan diperlihatkan (kepadanya, pada Hari Kiamat kelak. (An-Najm : 39-40)

Huraian

Waktu dan usia adalah perakam abadi yang akan menyimpan segala pengalaman hidup seseorang. Waktu adalah modal bagi manusia.

Begitu pentingnya waktu hingga ada yang mengatakan: “Jika kamu ingin tahu manusia yang paling bodoh, lihatlah orang yang diberi modal dan modalnya dihabiskan dengan sia-sia.”

Dengan demikian, sesungguhnya suatu kerugian yang sangat besar apabila seseorang hamba itu tidak dapat memanfaatkan usianya dengan sebaiknya.

Di dalam surah al-Asr ayat 1 hingga 3 Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati dalam perkara kebenaran dan nasihat-menasihati dalam kesabaran.”

Dalam kerangka itulah Allah s.w.t. meletakkan waktu sebagai nilai yang menentukan timbangan kerugian dan keuntungan manusia dalam hidupnya semasa di dunia kerana setiap amalan yang dilakukan akan dinilai oleh Allah s.w.t. dan amalan itu akan diperlihatkan kepada pelakunya pada hari akhirat kelak.

Di sana nanti, seseorang itu tidak dapat menanggung dosa orang lain, sama ada untuk meringankan beban dosa orang lain atau untuk membebankan orang lain dengan dosa-dosanya.

Tiada sesiapapun yang boleh meringankan bebanan dosanya, dan tiada sesiapa pun yang boleh secara sukarela memikul dosa orang lain kerana seseorang itu tidak dihisab dan dibalas melainkan mengikut amalan dan perbuatan yang dilakukannya sahaja.

Dia tidak boleh ditambah dengan amalan orang lain dan tidak boleh dikurangkan amalannya untuk orang lain.

Oleh itu masa hidup di dunia ini merupakan satu-satunya peluang yang diberikan kepadanya untuk beramal dan berusaha mengikut ajaran dan acuan Islam.

Apabila meninggal kelak, maka hilanglah peluang itu dan putuslah amalannya kecuali amalan-amalan berbentuk jariah yang sentiasa mengalir pahalanya, seperti doa daripada anak yang soleh, sedekah yang berkekalan selepasnya, dan ilmunya yang dimanfaatkan oleh orang lain.

Ketahuilah, segala amalan dan usaha tidak akan hilang sia-sia walau sedikitpun dan tidak akan luput daripada pengetahuan Allah s.w.t. serta tidak akan lepas daripada neraca timbangannya.

Setiap orang akan menerima balasan dengan sempurna tanpa kurang sedikitpun dan tidak dianiaya sedikitpun.

Kesimpulan

Penekanan tentang dasar tanggungjawab mereka terhadap amalan dan perbuatan di samping dasar keadilan balasan di akhirat kelak.

Dengan demikian benarlah nilai insaniah seseorang manusia yang ditegakkan di atas konsep memandang manusia sebagai suatu makhluk yang berakal, yang bertanggungjawab dan yang memegang amanah terhadap keselamatan diri sendiri.

Ia diberi peluang untuk beramal dan akan dibalas mengikut amalannya. Dan dengan demikian juga seseorang itu akan merasa aman dan tenteram terhadap keadilan balasan, iaitu satu keadilan mutlak yang tidak terjejas kerana hawa nafsu dan tidak tercacat kerana pengetahuan yang terbatas dan taubat kerana kejahilan terhadap perkara-perkara yang sebenar.

Jiran baik umpama harta tak ternilai


MANUSIA tidak boleh berdiri tanpa pertolongan serta simpati orang lain terutama jiran, pihak yang paling hampir dengan kita untuk menikmati kesenangan dan membantu serta memberi sokongan tatkala menghadapi kesusahan.

Kata pujangga, ada empat faktor untuk kita menikmati kehidupan selesa, iaitu rumah yang lapang, isteri yang setia, kereta yang tidak rosak dan jiran yang baik.

Apabila kita mendapat jiran baik serta berbudi, bererti kita berjaya mendapat sesuatu yang mahal serta tidak ternilai harganya. Tetapi jika kita mendapat jiran tetangga yang kurang berbudi, kita akan menghadapi keadaan yang tidak selesa dan merumitkan.

Hakikatnya, sakit pening, susah senang, jiran adalah orang paling utama untuk kita mengadu. Apatah lagi dalam hal kecemasan, jiran orang pertama yang diharapkan untuk menghulur bantuan atau yang diharapkan bagi mendapatkan pertolongan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawa dua orang pertama yang akan diadili pada hari kiamat nanti ialah dua saudara yang berjiran tetangga.”

Andai kata jiran kita ditimpa bencana maka kitalah yang perlu memberikan pertolongan, nasihat serta simpati. Begitu juga apabila mereka mendapat khabar gembira, wajarlah kita yang dulu mengucapkan tahniah dan syukur.

Perlu diingat, hidup ibarat roda pedati yang sentiasa bergilir untuk turun dan naik. Hari ini kita hulurkan simpati kepada penderitaan orang lain, sudah tentu hari esok orang lain sanggup menderita serta menangis bersama kepayahan kita.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada syafaat bagi seseorang Muslim apabila pada ketika dia sihat dan kenyang tetapi di sebalik dinding ada jirannya yang susah dan lapar.”

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Akan beroleh syafaat yang besar bagi seseorang Muslim iaitu apabila bau masakannya tercium oleh jiran sebelah lalu dia bergegas pergi memberinya semangkuk.”

Justeru, rasa persaudaraan yang terpancar daripada keikhlasan kehidupan berjiran sangat dituntut oleh Islam seperti mana sabda junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya semua umat Islam itu adalah bersaudara.”

Perasaan cemburu, dengki, iri hati serta khianat sesama jiran amat dibenci oleh Islam. Diriwayatkan oleh Tabrani, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik mereka yang beriman ialah apabila orang lain selamat daripada tindakan lidah dan tangannya.”

Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan kepada seorang sahabat: “Bahawa seorang wanita yang berpuasa siang dan bersolat malam, tetapi dia suka menyakiti hati jirannya, maka perempuan itu adalah penghuni neraka.”

Demikianlah kuat dan besarnya pertalian jiran tetangga yang menjadi perkara penting diingatkan kepada umat Islam. Malah, apabila berhasrat membeli rumah, kita juga dinasihatkan untuk memilih perumahan yang memiliki kejiranan yang baik.

Dalam hadis diriwayatkan Jabar dan Anas, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Jibril selalu mengingatkan aku mengenai jiran tetangga, seolah-olah aku menduga Jibril akan menyuruh supaya diturunkan pusaka kepada jiran tetangga.”

Ada empat perkara hak Muslim terhadap Muslim lain: Apabila bertemu ucapkan salam, apabila diundang penuhilah undangannya, apabila sakit ziarahilah dia dan apabila dia meninggal maka iringlah jenazahnya sampai ke kubur.

Seseorang Muslim apabila datang menziarahi orang sakit pada waktu pagi, 70,000 malaikat akan mendoakannya sampai ke petang, dan apabila menziarahinya pada waktu senja 70,000 malaikat akan mendoakannya hingga ke subuh.

Tiga malam sebelum Nabi Muhammad SAW wafat, Baginda menasihatkan sahabat dengan sabdanya yang bermaksud: “Janganlah mati seseorang kamu kecuali dalam keadaan berbaik sangka terhadap Allah dan jiran tetangga.”

Dalam suasana kehidupan maju sekarang, semangat persaudaraan dan kejiranan semakin jauh tidak seperti masyarakat dulu atau kasih sayang serta pengorbanan persaudaraan yang ditunjukkan kaum Muhajirin dan Ansar.

Tidak dinafikan, nilai persaudaraan dan semangat kejiranan masyarakat dulu begitu kukuh hinggakan walau sudah berpindah jauh, masih ada yang sanggup kembali bertemu jiran apabila tiba hari raya atau ingin mengadakan kenduri-kendara.

Malangnya, kemajuan mengorbankan ikatan saling hormat menghormati dan hidup berjiran terutama di kalangan penduduknya yang bekerja.

Renungkan firman Allah yang bermaksud: “Sebenarnya aku amat pemurah dan penyayang, maka kepada mereka yang menghubungkan silaturahim akan Ku tambahkan rahmat-Ku ke atasnya, tetapi apabila mereka memutuskan hubungan persaudaraan nescaya akan Ku pendekkan rezeki terhadapnya.”

Tiada Sial Dalam Islam


Apa guna dipanggil moden sekiranya cara hidup, pemikiran, akhlak dan sifat mulia kemanusiaan kita makin terhakis? Kemudahan sepatutnya memudahkan penyebaran kebaikan, keluhuran dan kesusilaan barulah hidup mengalami kemajuan.

Jika kemajuan yang hendak dicapai tetapi akhlak murni gugur atau tercicir, eloklah kita menilai kembali erti kemodenan yang sedang kita impikan. Membimbangkan kita menyambut dan menikmati kemajuan dengan minda dan pemikiran yang beku dan jumud.

Kemodenan yang hakiki ialah kebebasan akal menerawang mengenali Tuhan sang pencipta, hidup tertakluk kepada peraturan yang sarat dengan nilai mulia sejagat, sesuai di semua tempat…hidup berpandukan peraturan yang tahan diuji sepanjang zaman.

Bukan saja bertahan lama tapi berjaya menyisihkan cara hidup buatan manusia yang terbatas laksana buah bermusim, sekejap ada dan sekejap tidak ada, kekadang putik kadang-kadang berulat dan buruk.

Adakah dipanggil moden sekiranya pemikiran masih terbelenggu dengan sial dan majal terhadap sesuatu yang langsung tidak punya kuasa. Bukan sekadar terbelenggu tapi sudah percaya dan sudah termasuk

sebagai rujukan dan penentuan dalam membuat sesuatu keputusan.

Bayangkan remaja percaya kepada nombor 13 membawa sial dan majal. Berhubung dengan ini Imam Bukhari pernah meriwayatkan daripada Rasulullah, yang bersabda, maksudnya: “Tiada sial dan majal dalam Islam.”

Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda, maksudnya: “Tiada kesialan pada sesuatu burung.” Malah mempercayai sial dan majal membawa kepada syirik sebaliknya Allah menggantikan dengan konsep tawakkal.

Patut atau tidak seseorang remaja bersiap untuk ke tempat temuduga tiba-tiba sampai ke tempat itu, didapatinya bilik temuduga itu bernombor 13, lalu tidak jadi masuk menghadapi temuduga dan terus pulang kerana berpendapat nombor itu membawa sial.

Berkahwin pada bulan Safar, katanya membawa sial adalah bercanggah dengan prinsip agama. Begitu juga sesetengah daripada kita tidak jadi hendak membeli rumah semata–mata kerana dianggap sial.

Dalam suasana payah hendak mendapat kerja dan pasangan, ada yang beranggapan dengan memakai gelang dia akan memberi “semangat”. Tidak kurang juga yang percaya kepada kuasa bunga dengan nama “mandi bunga”.

Bunga untuk hiasan dan kecantikan bukannya ada kuasa luar biasa. Begitu juga dengan kebolehan doktor. Islam tidak pernah menolak kemajuan yang berasaskan kajian dan penemuan moden. Perubatan moden diharuskan. Pun begitu kuasa penyembuh hanyalah pada tangan Allah.

Doktor hanya merawat dan berikhtiar tetapi yang menyembuh hanyalah Allah. Kita boleh memilih doktor mana yang serasi untuk merawat kita tetapi bukan dia yang menyembuh. Jika betul ikhtiar dan ubat bertepatan dengan kehendak Allah akan sembuhlah apabila sampai masanya.

Menjadi kesalahan besar sekiranya seorang gadis atau wanita sanggup berbuat apa sahaja, terpaksa menyerah maruah dan diri demi menagih cinta dari kekasihnya. Fikirnya jika tidak ikut kehendak si dia nanti tidak dicintai pula dan ada risiko ditinggalkan.

Yang menentukan jodoh bukannya manusia. Manusia hanya merancang kerana yang menentukan adalah Allah. Kekolotan minda akidah remaja inilah menyebabkan berlakunya persundalan yang akhirnya mereka sendiri yang merana.

Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, amalan memberi rasuah membawa syirik. Ia bukan sekadar dosa besar, sebab yang membawa kepada syirik kerana anggapan pemberi rasuah “jika aku tidak beri, maka pasti tidak dapat.”

Ini yang rosak iman, kerana anggapan pemberi rezeki sudah beralih daripada Allah kepada manusia. Bagi melariskan kedai perniagaan pekedai mula guna pelaris termasuk ayat seribu dinar. Peniaga mungkin terlupa bagaimana nabi menjalankan perniagaan, untung besar tetapi tidak guna pelaris.

Begitu juga sahabat nabi, Abd Rahman bin Auf buat untung besar tanpa menggantung apa-apa ayat. Sebenarnya rahsia kejayaan mereka adalah ilmu, kemahiran dan tawakkal kepada Allah.

Kata-kata Hikmah Khulafa’ Ur Rasyidin


Syd. Abu Bakar rha. Berkata :
Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan, iaitu:

· Ia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu
dibelanjakan bukan pada tempatnya.
· Hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim.
· Hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan
dipergunakan untuk kejahatan pula.
· Adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan secara
berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna.

Syd. Umar Al Khattab Rha. berkata :
· Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya.
· Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina.
· Orang yang menyintai akhirat, dunia pasti menyertainya.
· Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga.

Syd. Othman Ibnu Affan Rha. berkata :
Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:
· Hatinya selalu berniat suci
· Lidahnya selalu basah dengan zikrullah
· Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa)
· Segala perkara dihadapainya dengan sabar dan tabah
· Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.

Syd. Ali Karramallahu Wajhah berkata :
· Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu’.
· Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada
perbuatan yang sia-sia.
· Tiada kebaikan bagi pembaca al-Qur’an tanpa mengambil
pangajaran daripadanya.
· Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat
warak (memelihara diri dan hati- hati dari dosa).

· Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi.
· Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki.
· Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan.
· Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya,siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya,siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak.Sedang orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati.